Menu

A product of ZI Softech   

Artikel Am

Didalam halaman ini anda akan mendapat maklumat mengenai Ar Rahnu dan juga Penggadaian Konvensional. Diharapkan anda beroleh menafaat dari artikel yang dimuatkan disini dan penulis mengalu-alukan komen dan sumbangan artikel untuk memperkayakan lagi kandungan laman ini. JazakalLah.

ArRahnu di Malaysia

Merujuk kepada pemilikan dan penggunaan emas, di Malaysia, pemilik emas mempunyai pilihan untuk menyimpan sendiri atau menyimpannya dipeti besi simpanan bank.

Pada ketika  kecemasan memerlukan wang tunai dengan segera, emas tersebut boleh dijual terus di kedai emas akan tetapi harganya akan berkurangan antara 15%-30% daripada harga semasa, tertakluk kepada kualiti emas yang dimiliki, ataupun boleh mendapatkan pinjaman pada kadar 50%-70% daripada harga semasa, iaitu dengan mencagarkannya dipajak gadai konvensional atau pajak gadai Islam dikenali sebagai Ar-Rahnu.

Pada bila-bila masa atau diakhir tempoh perjanjian emas itu boleh ditebus selepas membayar jumlah prinsipal pinjaman dan membayar upah simpan (di Ar-Rahnu) atau faedah (di pajak gadai konvensional).

Di Malaysia terdapat dua jenis sistem pajak gadai yang menerima emas sebagai cagaran.

Pertama: Pajak Gadai Konvensional, di pantau oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), melalui syarikat persendirian, dibenarkan oleh undang-undang menerusi Akta Pajak Gadai 1972. Sistem konvensional mengenakan faedah sebanyak sehingga maksimum 2% sebulan bagi tempoh maksimum pajakan selama enam (6) bulan. Nilai pinjaman emas bermula daripada 50% daripada harga pasaran, sekiranya tidak ditebus, bagi nilai melebihi RM200 selepas tempoh gadaian tamat, maka ia akan dilelong. Lebihan harga lelong tidak akan dikembalikan. Maksimum pinjaman ialah RM5,000 sahaja.

Kedua: Pajak Gadai Islam Ar-Rahnu, di bawah seliaan Suruhan Koperasi Malaysia (SKM) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), kebanyakannya diurus melalui institusi, koperasi dan syarikat persendirian, diperkenalkan di Malaysia pada awal tahun 1990-an. Ia mula dipelopori oleh Muassasah Gadaian Islam Terengganu pada 1992, Permodalan Kelantan Berhad pada 1992, YaPEIM (Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia) dan Bank Rakyat pada 1993, koperasi-koperasi dan bank-bank lain juga secara agresif memperkenalkan sistem Ar-Rahnu ini.

Kadar upah simpan di Ar-Rahnu serendah 0.65% - 0.75% sebulan sehingga maksima 1% sebulan daripada amaun marhun seperti yang dibenarkan oleh undang-undang. Tempoh maksima pajakan enam (6) bulan dan boleh diperbaharui selama 2 bulan selama 2 kali sehingga mencapai maksimum sepuluh bulan. Nilai pinjaman ialah maksimum 65% hingga 70% daripada harga pasaran manakala dibank pula pinjaman maksimum sehingga 70% daripada harga pasaran. Barang emas yang tidak diambil selepas tamat tempoh pajakan akan dilelong.

Kelebihan skim Ar-Rahnu ialah kadar upah simpan yang rendah dan sekiranya dilelong, lebihan harga lelongan setelah ditolak harga pinjaman dan upah simpan akan dipulangkan kembali.  

Kini YaPEIM dan Bank Rakyat menawarkan khidmat francais kepada institusi, koperasi atau syarikat persendirian yang berminat.

Baca seterusnya...

 

 My Ar Rahnu.com. Hakcipta Terpelihara